Pada 27 Julai 2018, Ceramah Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut
(HFMD) telah diadakan bagi memberi kesedaran tentang penyakit tersebut dan
mengingatkan murid bahawa langkah pencegahan terbaik adalah menjaga kebersihan
diri dan persekitaran. Penyakit HFMD disebabkan oleh virus yang dikenali
sebagai enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71
(EV 71). Penularan penyakit/virus HFMD adalah melalui sentuhan langsung dengan
cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang
dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar
dengan virus HFMD. Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih
tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak
tangan dan kaki. HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan
sendiri. Namun begitu, segelintir jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan
EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.